KISAH MENARIK BUAT PENUNTUT ILMU
Antara kisah menarik yang diceritakan oleh Fadhilatus Shaykh Ali Jum’ah kepada kami, anak murid beliau, adalah kisah Fadhilatul Ash-Shaykh Khalid Al-Azhariy (1434-1499m / 838-905h), berkaitan peristiwa yang mengubah kehidupannya sehingga menjadi seorang ulama’ besar dalam bidang Lughoh, terutamanya ilmu Nahu.
Ash-Shaykh Khalid pada mulanya bekerja sebagai orang yang menyalakan pelita-pelita di Masjid Al-Azhar Asy-Syarif. Ketika itu, masjid masih menggunakan lampu pelita bagi menerangi majlis-majlis ilmu di malam hari. Dengan tugasan tersebut, Ash-Shaykh mendapat upah 8 dirham sebulan yang digunakan Ash-Shaykh untuk menyara keluarganya.
Pada suatu malam, ketika Ash-Shaykh sedang menjalankan tugas menyalakan pelita yang bergantungan di masjid tersebut, tanpa sengaja minyak yang digunakan Ash-Shaykh itu terjatuh keatas kitab milik salah seorang pelajar. Apabila pemilik buku tersebut melihat kerosakan pada kitabnya, dia menjadi sangat marah, lalu berkata ;
“Sekiranya kamu ini seorang pelajar sudah tentu kamu akan tahu tentang betapa susahnya untuk menyiapkan muka surat yang telah engkau rosakkan ini disebabkan kecuaian kamu, wahai si jahil !!”
Setelah berlaku demikian, Ash-Shaykh menangis disebabkan kata-kata pelajar tersebut. Maka, Ash-Shaykh pun pergi kepada ketuanya untuk meminta untuk mengalihkan namanya daripada senarai nama pekerja ke senarai nama pelajar.
Ketua tersebut berkata ;
“ Wahai anakku, kamu diberi upah sebanyak 8 dirham untuk bekerja, kalau kamu ingin menjadi pelajar maka kamu hanya akan dapat 4 dirham sahaja.”
Dengan tegas, Ash-Shaykh berkata ;
“Tidak mengapa, aku akan terima 4 dirham sahaja.”
Lalu, Ash-Shaykh Khalid Al-Azhary mula belajar dalam keadaan buta huruf dan tidak tahu membaca. Pada mula belajar abjad-abjad, Ash-Shaykh ketika itu sudah pun berumur 36 tahun.
Kesungguhan dan kerajinan beliau dalam menuntut ilmu, walaupun dalam usia yang sudah sedikit terlewat, telah menjadikan Ash-Shaykh sepertimana yang dikenali oleh para ulama’ disini yang menggelarkan beliau sebagai “Sibawaih pada zamannya”.
Tiada istilah terlewat dalam menuntut ilmu dan tiada pengakhirannya, daripada buaian sehinggalah ke liang lahad.
رحمه الله تعالى
Komentar
Posting Komentar